Lelaki Pahang malas, suka lepak di warung kopi: Kata Adnan


22 Mac - Adnan Yaakob (gambar) hari ini mengakui lelaki Pahang malas dan menjadikan wanita atau isteri mereka sebagai “ketua” keluarga dengan bekerja mencari rezeki serta memenuhi keperluan hidup keluarga.

Menteri Besar itu berkata, daripada pemerhatiannya situasi itu membanggakan kerana melihatkan kehebatan wanita Pahang dengan menikmati kebebasan yang merupakan sesuatu perkara yang dituntut dan diperjuangkan oleh wanita Barat.

“Kita sering dipaparkan dengan gambaran mengenai kegigihan wanita Pahang berniaga dan bercucuk tanam sedangkan suami mereka melepak di warung, menghabiskan waktu dengan aktiviti tidak bermanfaat dan tidak menepati keutamaan.

“Kenyataan ini menghina lelaki Pahang dan saya sebagai salah seorang yang terkait tidak suka dengannya tetapi terpaksa menerima kerana sememangnya terdapat lelaki Pahang yang begitu sikapnya,” katanya semasa merasmikan pelancaran buku Persatuan Kemajuan Wanita Pahang di Putrajaya hari ini.

Beliau yang juga sinonim dengan panggilan Adnan berkata, bekas menteri besar Pahang sendiri pernah mengeluarkan kata-kata pedih menyindir lelaki Pahang yang malas bekerja dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, senario itu lebih ketara pada waktu dahulu dan ia masih wujud di zaman sekarang walaupun sudah tidak begitu ketara.

“Malah seorang pemimpin masyarakat memberikan analogi yang cukup ekstrim dengan menyamakan lelaki Pahang dengan ‘bapa ayam’ yang hanya suka berseronok dan urusan menjaga anak; mencari makan dan sebagainya dipikul oleh ‘íbu ayam’ semata-mata.

“Terdapat juga perspektif yang menyatakan mengenai kebanggaan wanita Pahang yang sanggup bekerja demi menanggung suami mereka yang tidak bekerja. Sikap begini mendorong wanita Pahang menjadi gigih, berani dan cekal,” katanya.

Pada majlis itu juga, Adnan Yaakob mengungkapkan ciri-ciri wanita Pahang yang kebanyakan daripada mereka lemah lembut dan mempunyai rupa paras yang cantik.

Katanya, perkara itu diungkapkan bukan atas dasar syok sendiri tetapi turut diakui mereka yang bukan berasal dari Pahang.

“Satu waktu dahulu, sering diungkapkan bahawa sesiapa sahaja yang bekerja di Pahang akhirnya akan beristeri dengan wanita Pahang. Kononnya, rupa paras dan sikap kewanitaan ini akan benar-benar membuatkan lelaki jatuh hati kepada mereka.

“Malah, satu waktu dahulu saya pernah mendengar anekdot mengenai ‘SAP’ di kalangan orang lelaki di Pahang. Kononya apabila orang dari luar Pahang, apabila ‘Sampai Pahang Mesti Kahwin’ dengan wanita Pahang,” katanya.

Beliau berkata di sebalik ciri-ciri positif wanita Pahang yang disebutkan, jika perihal tersebut dijelmakan dalam keadaan tidak baik akan membawa padah.

Katanya, sifat nekad dan keberanian yang dimiliki wanita Pahang menguatkan tekad mereka untuk “berdikari” namun ia turut menyumbang kepada keruntuhan rumah tangga yang dilihat tinggi secara relatif di Pahang.

“Kita tidak boleh alpa dan membangga diri kerana sikap dan kehebatan ini, seandainya ditunjuk atau dijelmakan dalam keadaan tidak baik akan membawa padah.

“Oleh demikian, sikap unik, hebat dan istimewa ini perlu dipupuk dan dijaga supaya ia berperanan untuk mempertahankan kesusilaan dan keharmonian sehingga mampu mengangkat perkara negatif dari melemahkan masyarakat,” katanya.


No comments:

Post a Comment